4.7.08

TARIQAH-TARIQAH YANG MU’TABARAH


Tariqah sebagaimana telah diakui dalam Ilmu Tasawuf sebagai jalan yang memberi petunjuk dan membawa seseorang itu kepada Tuhannya dengan pengabdian sebenarnya. Justru demikian, jalan untuk menyampaikan kepada maksud dan tujuan itu terbentang

luas dan banyak sekali. berbagai tariqah yang wujud dan bermacam jenis, warna dan pengajarannya tetap kembali kepada tujuan yang satu yaitu Taqarrub kepada Allah swt dan akhirnya mancapai Makrifatullah.

Tariqah-tariqah sejak awal kewujudannya telah berkembang pesat dan diamalkan sehingga ke hari ini Bilangannya banyak sekali. Ada tariqah-tariqah yang merupakan tariqah asas yang dibentuk oleh ahli-ahli Tasawuf, dan ada juga tariqah-tariqah yang

merupakan perpecahan daripada tariqah asas, telah dipengaruhi oleh pendapat para masyaikh tariqah asas, telah dipengaruhi oleh pendapat para masyaikh tariqah yang mengamalkannya di belakangnya atau oleh keadaan setempat, keadaan bangsa yang menganut tariqah-tariqah itu. Banyak diantara perpecahan tariqah- tariqah itu disusun atau diberi istilah-istilah yang sesuai dengan tempat perkembangannya.

Dr Syeikh H.Jalaluddin, seorang pakar ilmu Tasawuf dan

seorang ahli tariqah,telah banyak menulis tentang perkembangan

tariqah-tariqah, antara lain tariqah-tariqah yang telah diakui

kesahihannya. Beliau menerangkan tariqah-tariqah tersebut ialah:-

1 Tariqah Qadiriyah

2 Tariqah Naqsyabandiyyah

3 Tariqah Syaziliyyah

4 Tariqah Ahmadiyyah

5 Tariqah Rifaiyyah

6 Tariqah Dasukiyyah

7 Tariqah Akbariyyah

8 Tariqah Maulawiyyah

9 Tariqah Qurabiyyah

10 Tariqah Suhrawardiyyah

11 Tariqah Khalwatiyyah

12 Tariqah Jalutiyyah

13 Tariqah Bakdasiyyah

14 Tariqah Ghazaliyyah

15 Tariqah Rumiyyah

16 Tariqah Jastiyyah

17 Tariqah Sya’baniyyah

18 Tariqah Kaisaniyya

19 Tariqah Hamzawiyyah

20 Tariqah Sya’baniyya

21 Tariqah ‘Alawiyyah

22 Tariqah ‘Usyaqiyyah

23 Tariqah ‘Umariyyah

24 Tariqah ‘Uthmaniyyah

25 Tariqah ‘Aliyyah

26 Tariqah Bakriyyah

27 Tariqah ‘Abbasiyyah

28 Tariqah Haddadiyyah

29 Tariqah Maghribiyyah

30 Tariqah Ghaibiyyah

31 Tariqah Hadiriyyah

32 Tariqah Syattariyyah

33 Tariqah Bayumiyyah

34 Tariqah ‘Aidrusiyyah

35 Tariqah Sanbliyyah

36 Tariqah Malawiyyah

37 Tariqah Anfasiyyah

38 Tariqah Sammaniyyah

39 Tariqah Sanusiyyah

40 Tariqah Idrisiyyah

41 Tariqah Badawiyyah

Sebagai contoh, kami bawakan diantara sejarah dan

perkembangan ringkas beberapa tariqah yang tercatit di atas

berupa tariqah yang masih diamalkan sehingga ke hari ini dan

termasyhur di rantau nusantara ini.

Tariqah Syaziliyyah

Nama pendiri tariqah ini ialah Abul Hassan Ali As-Syazili

dalam sejarah keturunannya dihubungkan dengan keturunan

Sayidina Hassan putera Sayidina Ali Bin Abi Thalib ra. Lahir di

Amman, salah sebuah desa kecil di Afrika, berdekatan desa

Mansiyyah, dimana hidup seorang wali Sufi besar, As-Syeikh

Abul Abbas Al-Mursi, seorang yang namanya tidak asing dalam

dunia Tasawuf. Kedua-dua desa itu terletak di daerah Maghribi.

As-Syazili lahir pada tahun 573H. Beliau terkenal sebagai

seorang yang memiliki perwatakan yang baik, wajah yang

menunjukkan keimanan dan keikhlasan. Warna kulitnya sedang

serta badannya agak panjang dengan bentuk wajahnya yang agak

memanjang. Menurut Ibnu Sibagh, bentuk badannya itu

menunjukkan bentuk seorang yang penuh dengan rahsia-rahsia

hidup. Menurut Abdul ‘Aza’im pula, As-Syazili adalah seorang

yang ringan lidahnya, baik segala ucapannya sehingga segala

ucapan yang keluar dari mulutnya mengandungi hikmah dan

pengertian yang besar dan mendalam.

Tariqah Syaziliyyah dibentuk dengan menisbah kepada nama

pengasasnya. Ia merupakan tariqah yang silsilahnya sambung-

menyambung sampai kepada Hassan Bin Ali Bin Abi Thalib ra

dan terus sampai kepada Rasulullah saw. Salah sebuah tariqah

yang dikatakan termudah mengenal ilmu dan amal, mengenal

ahwal dan maqam, ilham dan maqal dengan mudah dapat membawa pengikut-pengikutnya kepada jazab, mujahadah, hidayah, rahsia dan karamah.

Menurut kitab-kitabnya, Tariqah Syaziliyyah tidak meletakkan syarat-syarat yang berat kepada Syeikh tariqah, kecuali mereka harus meninggalkan segala perbuatan maksiat, memelihara segala ibadah-ibadah sunnah semampunya, zikir kepada tuhan sebanyak mungkin, sekurang-kurangnya seribu kali sehari semalam, istighfar sebanyak seratus kali sehari semalam, serta beberapa zikir yang lain. Kitab Syaziliyyah meringkaskan

sebanyak dua puluh adab, lima sebelum memulakan zikir. Dua

belas dalam mengucapkan zikir dan tiga sesudah selesai berzikir.

Tariqah Qadiriyyah

Tariqah ini didirikan oleh seorang wali sufi yang agung, As-

Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Beliau seorang yang alim dan

zahid, diberi gelaran Qutbul Aqtab. Seorang ahli fiqeh Mazhab

Hambali yang terkenal, kemudian beralih kecenderungannya

kepada ilmu tariqah dan menyelami alam kesufian. Sejarah

tentang kehidupan As-Syeikh dengan segala macam karamahnya

banyak tercatit dalam kitab-kitab Manaqib As-Syeikh Abdul

Qadir Al-Jailani.

Ibnu Batutah menceritakan bahawa dalam zamannya sudah

mulai dipergunakan orang tempat melakukan latihan-latihan suluk,

dan latihan-latihan yang dilakukan di Baghdad itu menurut ajaran-

ajaran As-Syeikh Abdul Qadir Al-Jilani. Sehingga dengan

demikian, ajarannya itu lama kelamaan merupakan satu mazhab

Sufi dan setiap murid yang telah menamatkan ajarannya sudah

beroleh ijazah khirqah dan berjanji akan meneruskan dan

menyiarkan ajarannya itu. Demikianlah diceritakan As-

Suhrawardi dalam kitabnya ‘Awariful Ma’arif’ yang tertulis pada

hujung kitab Ihya Ulumuddin karya Imam Al-Ghazzali.

Tariqah mula berkembang pada awalnya di tanah Arab. Ali

Bin Al-Haddad semasa waktu hidup As-Syeikh telah mula

menyebarkan tariqah ini di Yaman. Muhammad Batha’ berasal dari Balbek, pula menyebarkan tariqah ini di Syria. Begitu juga Muhammad Al-Yunani terkenal sebagai seorang penyair Tariqah Qadiriyyah di Balbek dan juga Muhammad bin Abdus Samad

yang mewakli As-Syeikh Abdul Qadir sendiri untuk

mengembangkan tariqahnya di Mesir.

Demikianlah seterusnya ajaran Tariqah Qadiriyyah

disebarkan luas ke negara-negara lain. Ke Makkah, Turki, tersiar

juga ke Afrika Tengah, ke Asia sehingga membawa ke rantau

nusantara kita ini.

Tariqah Qadiriyyah mempunyai zikir-zikir, wirid dan hizib- hizib yang tertentu. Wirid-wirid Tariqah Qadiriyyah termuat dalam kitab ‘Al-Fuyudat Ar-Rabbaniyyah’ karangan Abdullah Bin Muhammad Al-Ajami, juga seorang sufi yang alim yang telah

mencapai umur 183 tahun (527–721 H)

Pokok dasar Tariqah Qadiriyyah sama banyaknya dengan

Tariqah Syaziliyyah iaitu terdiri dari lima asas yang penting. Asas

Tariqah Syaziliyyah itu terdiri dari lima perkara:-

1) Taqwa kepada Tuhan zahir dan bathin

2) Mengikut sunnah dalam perkataan dan perbuatan

3) Menjauhkan diri dari makhluk di depan dan di belakang.

4) Rela terhadap Tuhan dalam pemberiannya yang sedikit atau banyak

5) Kembali kepada Tuhan dalam waktu susah dan senang

Manakala asas pengajaran Tariqah Qadiriyyah pula ada lima

perkara;

Tinggi cita-cita, Memelihara kehormatan, Memelihara hikmah, Melaksanakan maksud, Mengagungkan nikmat dan keseluruhan ini semua

ditujukan hanya kepada Allah swt semata-mata Barangsiapa yang cita-citanya tinggi, maka tinggilah martabatnya. Barangsiapa yang memelihara kehormatan Allah,

maka Allah akan memelihara kehormatannya.

Barangsiapa yang memperbaiki khidmat, maka ianya wajib memperolehi rahmat.

Barangsiapa berusaha mencapai tujuan dan cita-citanya, maka ianya akan selalu memperolehi hidayat.

Barangsiapa yang membesarkan nikmat Allah bererti bersyukur kepadaNya.

Barangsiapa bersyukur kepada Allah, akan memperolehi tambahan nikmat yang dijanjikan Allah swt.

Tariqah Rifa’iyyah

Pengasas Tariqah Rifaiyyah adalah seorang sufi yang bernama

Rifa’I, pendiri tariqah ini. Tidak banyak lembaran sejarah yang

menulis tentang riwayat hidp As-Syeikh ini. Begitu juga Ibnu

Khalikan tidak banyak menulis tentang sejarah hidupnya. Lebih

banyak diutarakan beberapa catatan mengenai hidupnya dalam

kitab tarikh Islam karangan Az-Zahabi, dalam Kitab Tanwirul Absar dan juga Qiladatul Jawahir.

Dari sejarah hidupnya, dapat kita ketahui bahwa tatkala ia berumur tujuh tahun, ayahnya meninggalkan Baghdad pada tahun 419H. Lalu ia diasuh oleh bapa saudaranya Mansur Al-Bathaihi

yang tinggal di Basrah. Menurut Imam Sya’rani dalam kitabnya Lawaqihul Anwar, bapa saudaranya itu adalah seorang Syeikh tariqah yang kemudian dinamakan menurut nama Ahmad Rifa’iyyah. Ia pernah menuntut juga dari bapa saudaranya yang

lain, Abul Fadhl Ali Al-Wasithi mengenai hukum-hukum Islam

dalam mazhab Syafie. Ia belajar dengan giat dalam segala bidang

ilmu hingga ke umur 27 tahun. Ia mendapat ijazah dari Abul

Fadhl dan Khirqah dari Mansur, yang telah menetap di Umm

Abidah dan kemudian meninggal di sana pada tahun 540H.

Ahmad tidak melepaskan keluarga ini dan banyak bergaul dengan

anak-anak Mansur yang kesemuanya ahli tariqah.

Tariqah Rifaiyyah ini yang pada awal-awalnya bermula di Iraq, kemudian tersiar luas ke Basrah, sampai ke Damshiq dan Istanbul di Turki. Cabang-cabangnya yang terdapat di Syria ialah Hariyah, Sa’diyah dan Sayyadiyah. Cabangnya yang terdapat di Mesir pula ialah Baziyah, Malikiyah dan Habibiyah. Cabang Sa’diyah diSyria didirikan oleh Sa’duddin Jibawi (wafat 1335H) yang bercabang pula, masing-masing didirikan oleh Abdus Salamiyah

dan Abdul Wafaiyah, Hariri cabang di Syria (wafat 1247 H).

KESIMPULAN

Keperibadian manusia telah disemai sebagai sebaik-baik

penciptaan yang Allah swt mengutamakan atas segala penciptaan

yang lain. Kecemerlangan penciptaan yang dinamakan insan ini

memerlukan panduan yang sebaik-baiknya baik mengharungi

buaian gelora dunia. Tujuannya tiada lain melainkan supaya

insan ini akan pulang ke pangkuan Tuhannya dalam keadaan

sebaik-baiknya sepertimana keadaannya ketika dalam mula-mula

kejadian. Dengan motif mencapai kesempurnaan disisi Allah

inilah, ilmu Tasawuf dan jalan Tariqah, para sufi mengutamakan.

Tiada lain melainkan keredhaan Ilahi yang diharapkan, supaya

kepulangannya membawa kepada pengucapan salam dari

Penciptanya.

Dengan ini kami akhiri pembentangan suatu khazanah Islam

yang unggul ini dengan harapan ianya menjadi wasilah bagi

mencerminkan segelintir isi kandungan yang terkandung didalam

ilmu yang besar ini. Semoga ianya menjadi alat bagi

mendatangkan fahaman kepada ajaran Tasawuf dan Tariqah.

Dengannya kami mengharapkan maghfirah dan hasanah dari Sang

Pencipta, yang menjadi tujuan atas segala tujuan

Dipetik dari blog ustaz yang arif:

http://naqshbandiyun.blogspot.com/2007/05/tariqah-tariqah-yang-mutabarah-yang.html


0 ulasan:

Islam Memimpin Perubahan

Followers